Friday, January 2, 2009

Pemuda BN tubuh tabung bantu Palestin


Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan penubuhan Tabung Barisan Bertindak Menentang Keganasan Israel sebagai tanda simpati serta kesungguhan negara ini membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, buat permulaan, Pemuda BN menyumbang RM100,000 kepada tabung tersebut yang diharap mampu mendorong sektor korporat negara ini untuk turut menderma.

"Kita dan Palestin bagaikan satu keluarga dan kesakitan yang dirasai mereka turut dirasai di sini. Kita akan membantu mereka bagi meringankan keperitan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tiga muka surat kepada Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh di sini hari ini.

Penyerahan memorandum itu diadakan selepas perhimpunan khas Pergerakan Pemuda BN yang disertai kira-kira 2,000 orang di hadapan kedutaan tersebut bagi membantah tindakan kejam rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza sejak kebelakangan ini.

Memorandum tersebut turut menggesa Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) segera mengarahkan Israel menghentikan kekejaman mereka di bumi Palestin.

Turut hadir Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican; Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Azizuddin Ahmad serta wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Khairy menjelaskan, penubuhan tabung itu diharap menjadi permulaan yang akan membuka mata rakyat negara ini serta badan korporat untuk turut sama menyumbang kepada tabung itu.


"Sumbangan kepada tabung tersebut merupakan satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pemuda BN yang perlu juga dilakukan oleh setiap sektor korporat negara ini.

"Ini tanggungjawab semua yang perlu dipenuhi. Ini juga suara Malaysia yang tidak pernah putus membantu saudara sendiri di negara lain," ujarnya.
Menurutnya, keamanan di Palestin akan tercapai segera seandainya mereka diberikan negara manakala Israel segera menghentikan kekejaman.


Note:

Kesungguhan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional dalam membantu keperitan dan kesengsaraan rakyat Palestin akibat tindakan kejam pihak Israel amat dibanggakan.

No comments:

Post a Comment